PUTRAJAYA, 24 Oktober - Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli dijangka dibentangkan untuk bacaan pertama pada 1 Disember depan di Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, 11 perincian dasar terkandung dalam draf penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan telah diterima sepenuhnya jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet yang diadakan hari ini.
"Apabila Kabinet telah meneliti Rang Undang-Undang tersebut dan memberikan kelulusan, kita akan membawanya ke Parlimen untuk bacaan pertama, kedua dan ketiga.
"Kita boleh adakan bacaan pertama pada 1 haribulan Disember, dan bacaan kedua mungkin pada minggu yang sama. Harapannya, pada minggu pertama Disember itu kita dapat selesaikan proses kelulusan Rang Undang-Undang tersebut di peringkat Dewan Rakyat. Itulah perancangannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran buku 'Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2025' (Special Guidelines for Handling Child Sexual Abuse Cases 2025) di Istana Kehakiman di sini.
Kertas kabinet mengenai penggubalan RUU berkenaan akan dibentangkan kepada jemaah menteri pada pertengahan November sebelum dibawa ke Parlimen pada 1 Disember nanti.
Sebelum ini, Datuk Seri Azalina berkata tribunal berkenaan akan memberi alternatif penyelesaian lebih cepat dan efektif kepada mangsa berbanding proses mahkamah biasa yang mengambil masa bertahun-tahun.