fb fb fb fb fb

RUU Mufti Wilayah Persekutuan diputuskan 17 Okt ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KOTA BHARU, 28 September - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024 akan diputuskan pada 17 Oktober ini selepas dibentang pada sidang Parlimen.

Menurut beliau, mengikut perancangan, bacaan kali kedua akan dilaksanakan di Dewan Rakyat pada 16 Oktober ini.

"Dalam sidang Parlimen yang lepas kita hanya buat bacaan pertama Rang Undang-Undang Mufti.

"InsyaAllah perancangan kita sekitar 16 atau 17 Oktober, kita rancang untuk bacaan kali kedua dan ketiga. Mohon rakan-rakan semua doakan agar perbentangan Rang Undang-Undang Mufti dimudahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Kampung Pulau Pisang, Kota Bharu hari ini

Media sebelum ini melaporkan, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan.

Menurut naskhah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.

Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

GRACE AISYAH KEDAYAN