fb fb fb fb fb

RUU Agensi Tunggal Sempadan negara dibentang pada suku pertama tahun ini

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA, 9 Januari - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Peguam Negara kini sedang merangka satu Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan sebuah Agensi Tunggal Sempadan (SBA) bagi mengawal selia pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, RUU itu akan dibentangkan sebelum suku pertama persidangan tahun ini di Parlimen.

"Jemaah Menteri baru sahaja memberikan persetujuan untuk cadangan diadakan RUU bagi maksud menubuhkan entiti baharu SBA yang akan memakai satu nama dan seterusnya beroperasi sebagai satu agensi kawalan sempadan yang baharu.

"Bermula sekarang, KDN dan Pejabat Peguam Negara akan memulakan kerja bagi mewujudkan RUU baharu itu," katanya selepas Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri Tahun 2024, hari ini.

Turut dihadir Timbalan Mentei Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Inisiatif SBA yang dirancang sejak 2018 bagi menggantikan lebih 20 agensi penguat kuasa yang akan mengambil contoh agensi sempadan di negara antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan New Zealand.

Ini termasuk penguat kuasaan di 141 pintu masuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

GRACE AISYAH KEDAYAN