ALOR SETAR, 9 Januari - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memulakan gerak kerja operasinya untuk tahun ini dengan melancarkan Hari Jualan Kasih KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Jamil Khir memberitahu antara barangan keperluan asas yang dijual dengan harga murah dalam program ini adalah beras, minyak masak, ayam dan telur ayam.
Program itu dianjurkan sebagai salah satu manifestasi komitmen dan keperihatinan KEDA dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat keadaan ekonomi tidak menentu.
Selain itu, program tersebut juga menjadi platform kepada KEDA untuk menghebahkan pakej bantuan ekonomi yang disediakan melalui penyediaan reruai agensi.
Malah, usahawan KEDA juga diberi peluang untuk mengadakan jualan dan promosi produk masing-masing pada hari tersebut.
KEDA melalui usahawannya menawarkan beberapa barangan asas dengan harga murah melalui subsidi oleh KEDA sendiri dalam lingkungan 25 peratus hingga 53 peratus.
"Menjadi tumpuan pilihan pengguna untuk mereka memilih membeli beras, telur, minyak dan satu lagi ayam. Seekor ayam dijual harga RM10 dan kita tahu bahawa ayam ini menjadi makanan harian kepada masyarakat kita yang kalau mahu tidak mahu dalam sehari kita akan beli ayam," kata Jamil Khir kepada media selepas merasmikan majlis itu.
KEDA juga bercadang untuk menjadikan Hari Jualan Kasih KEDA ini sebagai program bersiri dan dijalankan di daerah-daerah lain juga,
Turut hadir dalam majlis itu ialah, Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Sharif, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Khairul Azmeer Abu Bakar serta Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Afifah Omar.