fb fb fb fb fb

Runtuhan gudang: Lima pekerja asing tiada caruman PERKESO

Anggota bomba bersama agensi penyelamat yang lain melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam runtuhan sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 November- Lima daripada sembilan pekerja asing terlibat dalam runtuhan tapak pembinaan di Batu Maung, Pulau Pinang tidak mempunyai rekod caruman dan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menegaskan, pihaknya menerusi PERKESO akan mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang bertanggungjawab menggaji pekerja asing.

"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang culas mendaftar dan membayar caruman pekerja asing, sekali gus menafikan hak perlindungan sosial mereka.

"Hasil hasil semakan yang dilakukan oleh kementerian itu mendapati empat daripada mereka, masing-masing dua yang maut dan dua mengalami cedera parah dalam kejadian berkenaan mempunyai rekod pendaftaran dengan PERKESO,"katanya.

Sivakumar berkata, sehingga kini Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi PERKESO masih giat menjalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Pejabat Persuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia serta agensi berkaitan mengenai empat mangsa yang tertimbus di bawah serpihan runtuhan.

Jelasnya, semua pekerja asing termasuk yang berkhidmat sebagai buruh di sektor pembinaan diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan PERKESO, berkuat kuasa sepenuhnya 1 Jan 2020 dan kegagalan majikan berbuat demikian jelas melanggar Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

"Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE