JAKARTA, 29 Julai -Rundingan Tahunan ke-13 antara Malaysia dan Indonesia akan meneliti setiap sektor melibatkan kedua-dua negara termasuk perkara berkaitan sempadan, ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pendidikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan itu juga meningkatkan kerjasama dua hala dan meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto atas sikapnya yang bukan sahaja sebagai presiden malah sahabat yang benar- benar komited untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia-Indonesia.
"Keberhasilan Perjanjian Persefahaman (MoU) mengenai Pulau Sebatik dan Pulau Sinapan, ini benar-benar perkara yang diperhalusi dan dicerakin atas pertimbangan kedua-dua pihak daripada segi teknikal, perundangan dan kerjasama. Kita juga tingkatkan kerjasama daripada segi kesihatan, maklumat telekomunikasi serta tadbir urus internet," katanya dalam sidang media bersama media Malaysia di akhir lawatan kerja beliau ke Indonesia di Sekretariat ASEAN, di sini.