fb fb fb fb fb

Rumah Transit Belia: 1,400 unit dibina di KL & 1,300 unit di Rawang

(Datuk Seri Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ketika menjawab pertanyaan dalam sesi soal jawab lisan pagi ini)

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Bagi membantu golongan muda memiliki rumah sendiri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merancang untuk menyediakan Rumah Transit Belia (RTB) di beberapa lokasi di Lembah Klang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebanyak dua projek RTB dicadangkan di Mukim Batu, Kuala Lumpur dan satu projek di Rawang, Selangor. 

"Bagi projek RTB Mukim Batu, Kuala Lumpur akan dibangunkan sebanyak 1,400 unit dan bagi RTB Rawang, Selangor sebanyak 3,000 unit akan dibina," katanya semasa sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Berhubung kesukaran mendapatkan pembiayaan perumahan terutama untuk golongan berumur 25 hingga 35 tahun, KPKT bersama Kementerian Kewangan bercadang menganjurkan "Home Ownership Programme" (HOPE) yang memfokuskan empat elemen iaitu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (IPPM), Penyediaan Perumahan Program dan Promosi. 

"Bawah elemen IPPM, program seperti Skim Rumah Pertamaku (SRP) di bawah Cagamas Berhad, Skim Jaminan Kredit Perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) dan RTO PR1MA sebaik sahaja dimuktamadkan, akan ditingkatkan dengan kerjasama institusi kewangan terpilih agar dapat menarik minat pembeli khususnya golongan B40 dan M40 untuk memudahkan pembiayaan bagi memiliki rumah," jelas Reezal menjawab pertanyaan ahli parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

(Datuk Mohd Fasiah ketika membangkitkan soalan mengenai isu perumahan pagi tadi)

Jelasnya, agenda besar KPKT mengenai perumahan akan menfokuskan kepada konsep 5K – iaitu Ketersediaan (availability), Kemampuan (affordability), Kemudahan Pembiayaan (accessibility), Kualiti (Quality) dan Kediaman berdaya huni (liveability).

"Saya yakin, inilah juga yang menjadi hasrat dan keinginan generasi muda di Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Projek rintis RTB ketika ini hanya di PPR Pinggiran Bukit Jalil yang mengandungi 632 unit rumah.

Berhubung projek perumahan mampu milik, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), setakat Disember lalu sebanyak 50% pembeli kediaman PR1MA atau 17,543 orang pembeli di seluruh negara berusia antara 25 hingga 35 tahun. 

Bagi tahun 2021 sahaja, sebanyak 34% pembeli kediaman PR1MA iaitu seramai 1,904 daripada 5,626 pembeli di seluruh negara adalah terdiri daripada golongan berusia antara 25 hingga 35 tahun. 

"Ini menunjukkan harga jualan yang ditawarkan oleh PR1MA, dengan purata harga rumah iaitu RM250,000.00 adalah bersesuaian dengan golongan muda. PR1MA juga akan memperkenalkan inisiatif Youth Home Ownership yang menyasarkan peningkatan pemilikan rumah PR1MA dalam kalangan golongan muda dari 50.3% kepada 70% pada penghujung tahun 2022", katanya menjawab soalan berkaitan PR1MA.

Reezal turut memaklumkan kerajaan akan meneruskan program perumahan sedia ada bagi golongan M40 melalui program Rumah Mampu Milik (RMM) dengan harga jualan RM300,000.00 dan ke bawah seperti Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) program perumahan PR1MA dan kediaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk manfaat golongan M40. 
 
Setakat ini, terdapat 24,903 unit PPAM, 27,821 unit perumahan PR1MA dan 28,305 unit Kediaman SPNB telah siap dibina di seluruh negara.

Media Baharu