
GEORGE TOWN, 29 Januari -Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang tahun ini akan diadakan pada hari pertama perayaan, iaitu 17 Februari depan.
- Majlis diadakan di SPICE Arena, Bayan Baru dari pukul 2 hingga 4 petang.
- Sambutan termasuk tarian singa, persembahan golongan istimewa dan kepelbagaian hidangan tradisional.
- Diadakan pada hari pertama Tahun Baharu Cina supaya masyarakat Islam dapat turut hadir sebelum Ramadan.
- Menunjukkan keharmonian kaum dan komitmen kerajaan negeri menyatukan rakyat melalui kepelbagaian budaya.
Langkah itu bagi memberi peluang kepada seluruh rakyat, termasuk masyarakat Islam, untuk bersama-sama memeriahkan sambutan sebelum bermulanya bulan Ramadan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, majlis berkenaan akan berlangsung di SPICE Arena, Bayan Baru, dari pukul 2 hingga 4 petang.
Selain kepelbagaian hidangan tradisional, sambutan akan dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, persembahan khas golongan istimewa serta kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, bersama isteri.
Menurut Chow, penganjuran pada hari pertama Tahun Baru Cina merupakan pendekatan berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kali ini berbeza kerana majlis dianjurkan pada hari pertama Tahun Baru Cina, bukan hari kedua seperti sebelum ini. Ini kerana kita mengambil kira kemungkinan bermulanya bulan Ramadan pada hari kedua.
Jadi kita putuskan untuk adakan pada hari pertama supaya semua rakyat Pulau Pinang, termasuk kaum Melayu dan Muslim, dapat hadir sebelum menyambut Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di KOMTAR, hari ini.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan yang mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang.
Penganjuran itu turut melambangkan komitmen kerajaan negeri dalam menyatukan rakyat sebagai satu keluarga besar melalui kepelbagaian budaya.