(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil beramah mesra bersama penghuni Rumah Anak-Anak
Yatim Darul Aitam Walmasakin pada program Singgah Sahur hari ini/ Foto BERNAMA)
ALOR SETAR, 30 Mac - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan bekerjasama dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bagi melaksanakan program pendidikan literasi digital di rumah anak-anak yatim di seluruh negara.
Rumah Anak- Anak Yatim Darul Aitam Walmasakin, Alor Setar, Kedah akan menjadi perintis kepada program tersebut.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata ia bagi memastikan anak- anak yatim mendapat peluang pendidikan dan mempunyai ilmu pengetahuan berasaskan ekonomi perniagaan digital apabila keluar dari rumah anak-anak yatim kelak.
Katanya, pegawai PEDi yang terdekat akan dihantar ke rumah anak-anak yatim untuk membantu mereka menerusi program yang bersesuaian.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan sepasang baju raya kepada
anak yatim, Mohd Mukhriz Mahdzir pada program Singgah Sahur di Rumah Anak-Anak Yatim Darul
Aitam Walmasakin, hari ini/ Foto BERNAMA)
"Kita akan berkerjasama dengan pihak Pusat Ekonomi Digital untuk datang dan mengadakan beberapa kelas supaya anak-anak ini bila mereka keluar nanti mereka bersedia untuk menghadapi keadaan dunia ekonomi yang banyak peluang, banyak cabaran dan dugaan, kita pastikan mereka tidak ketinggalan pengisian," kata beliau kepada pemberita selepas menyantuni anak-anak yatim dalam program Singgah Sahur di rumah anak yatim itu, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan kelengkapan baju raya dan duit raya kepada 42 penghuni rumah berkenaan.
Beliau juga menyerahkan peralatan elektrik termasuk sebuah televisyen dan kipas siling bagi kemudahan mereka.
Hadir sama Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Penyiaran Negeri Kedah, Sharimah Abu Bakar.