KUALA LUMPUR, 30 Mac - Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan pembungkusan barangan Hari Raya Aidilfitri bagi menghargai pengorbanan dan khidmat bakti setiap perwira dan perajurit ATM yang bertugas demi memastikan kedaulatan dan kesejahteraan rakyat negara ini terus terpelihara.
Aktiviti pembungkusan barangan Hari Raya Aidilfitri tersebut disempurnakan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Tengku Puteri Seri Teja, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah bersama Pengerusi Jemaah BAKAT Perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara) dan ahli BAKAT di Kem KEMENTAH, Jalan Padang Tembak, di sini, petang semalam.
Aktiviti tersebut merupakan acara tahunan yang dilaksanakan oleh BAKAT ATM dan Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA) sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu.
Ia melibatkan pembungkusan sebanyak 300 buah beg, dilaksanakan sebagai simbolik penglibatan dan keprihatinan isteri-isteri warga tentera sebagai ahli BAKAT.
(Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah menerima secara simbolik daripada Asisten Ketua Staf Perkhidmatan
Anggota (AKSPA), Mejar Jeneral Mohamed Fauzi Khamis, beberapa barangan sumbangan untuk
dimasukkan ke dalam beg Hari Raya Aidilfitri)
Ia juga sebagai sokongan semangat dan moral bagi mereka menyambut hari lebaran tahun ini tanpa keluarga di sisi tatkala rakan yang lain dapat menyambutnya dengan penuh kegembiraan.
Pelbagai sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan seperti produk makanan kering serta barangan keperluan lain telah diterima oleh ATM melalui syarikat atau badan korporat serta individu perseorangan, bagi menyediakan bungkusan beg Hari Raya Aidilfitri.
Ia akan diedarkan kepada perwira dan perajurit ATM yang bertugas di dalam operasi dan gerakan di perbatasan tanah air mahu pun di peringkat global semasa sambutan Aidilfitri nanti.