(Foto FB Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR, 30 Mac- Jadual padat menanti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Beijing bermula petang ini.
Datuk Seri Anwar dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing kira-kira pukul 4.30 petang.
Lawatan rasmi pertama perdana menteri ke Tanah Besar itu sejak menerajui kerajaan pada 24 November lalu adalah berbekal misi mempertingkat hubungan dan kerjasama dua hala, selain bertujuan menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China tahun ini.
Anwar turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Perdana menteri akan memulakan program pertama di Beijing hari ini dengan majlis berbuka puasa yang akan dihadiri lebih 200 rakyat Malaysia di China dan delegasi Malaysia.
Terdahulu, dalam sidang media bersama Menteri Luar Datuk Seri Zambry memaklumkan, lawatan kali ini bakal menyaksikan sejumlah pelaburan besar dibawa masuk ke dalam negara.
Sekurang-kurangnya, 14 memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai melibatkan kerjasama kerajaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan perniagaan, sekali gus memberi impak kepada ekonomi, pelaburan dan pertanian.
(Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Qionghai Bo’ao, Hainan semalam, bersempena
lawatan rasmi ke Republik Rakyat China/Foto FB Anwar Ibrahim