(Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan)
KUALA LUMPUR, 30 Mac- Pembangunan lapan kapal selam berkuasa nuklear bawah Perjanjian Keselamatan Tiga Hala (AUKUS) tidak akan dilengkapi senjata nuklear sebaliknya hanya menggunakan enjin berkuasa nuklear.
Ini selari komitmen Australia menerusi Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
Jaminan itu diberikan Panglima Angkatan Tentera Australia, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat dan Menteri Pertahanan United Kingdom kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Semasa sesi penerangan tersebut saya telah menjelaskan bahawa pendirian dan prinsip Malaysia berhubung AUKUS (kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat) adalah tetap dan tidak berubah.
“Pendirian Malaysia, menggesa agar semua pihak berkaitan, sama ada di dalam mahupun di luar pakatan AUKUS ini, untuk saling menghormati dan mematuhi sepenuhnya instrumen perundangan negara dan antarabangsa yang sedia ada.
“Ia terutamanya berhubung dengan pengoperasian kapal selam berkuasa nuklear di dalam perairan negara,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Tambahnya lagi, sebagai anggota ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH - Bagan) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan pendirian Malaysia ekoran pakatan pertahanan AUKUS selepas keputusan Australia untuk membeli lapan buah kapal selam perang nuklear.
(FOTO HIASAN)