
KUALA LUMPUR, 1 April – Bersempena ulang tahun ke-80, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melakar satu lagi detik bersejarah menerusi pelancaran rasmi saluran RTM World.
- RTM World memperkukuh peranan Malaysia menyampaikan perspektifnya ke pentas antarabangsa.
- Memperkasakan diplomasi media melalui kerjasama antarabangsa, pertukaran berita dan penerokaan kandungan rentas sempadan.
- Empat segmen fokus Global, ASEAN, Muslim World dan Dunia Melayu disusun mengikut tema untuk penonton antarabangsa.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan RTM sebagai penyiar awam nasional untuk terus relevan dalam landskap media yang semakin dinamik.
Menurut Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan pelancaran itu sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam menyampaikan perspektifnya ke peringkat antarabangsa.
“Ini merupakan satu perkembangan yang cukup signifikan kepada penyiar awam untuk membawa suara Malaysia ke pentas dunia. Inilah platformnya dan inilah wadahnya untuk dunia melihat peranan besar yang ingin kita tampilkan kepada masyarakat antarabangsa.
“Saya yakin RTM World mampu berkembang dengan lebih baik dan terus relevan untuk tempoh jangka panjang.” katanya.
Tambah beliau, RTM World juga berperanan memperkukuh peranan diplomasi media negara melalui kerjasama strategik antarabangsa, pertukaran bahan berita serta penerokaan kandungan rentas sempadan.
“Ini merupakan ‘game changer’ yang kita bentuk melalui RTM World. Sebagai sebuah negara, kita membawa mesej Malaysia kepada dunia global, membuka ruang kepada pihak luar untuk melihat keupayaan negara dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, budaya dan rakyatnya.”
Sementara itu Ketua Saluran RTM World, Mazlina Baharom berkata empat segmen utama diketengahkan dalam kandungan RTM World, iaitu Global, ASEAN, Muslim World dan Dunia Melayu.
Setiap segmen disusun dengan pengisian tersendiri mengikut tema dan identiti bagi memastikan kandungan yang lebih tersusun dan berfokus kepada sasaran penonton antarabangsa.
“Sebagai contoh segmen ASEAN, kita menyiarkan kandungan berbentuk majalah dengan ‘look and feel’ ASEAN. Untuk Muslim World pula, pengisiannya lebih kepada elemen Islamik. Begitu juga dengan Dunia Melayu, setiap segmen mempunyai pendekatan kandungan tersendiri mengikut identiti yang ditetapkan.”
Saluran RTM World disiarkan menerusi belting Saluran Berita RTM setiap hari dari pukul 8.30 malam hingga 7.00 pagi melalui platform MyTV saluran 123 dan RTM Klik, serta di aplikasi RTM Klik secara percuma.