
KOTA BHARU, 5 April – Radio Televisyen Malaysia (RTM), terus menyokong penggiat seni warisan tempatan berkarya serta mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi.
- Kerjasama Bahagian Program Radio dengan Berita Ehwal Semasa mengangkat dikir barat ke peringkat global menerusi saluran RTM World.
- Inisiatif ini diyakini mampu menarik minat generasi baharu serta memastikan seni warisan terus relevan.
- Empat kumpulan mula mengesahkan slot separuh akhir; julung kali menyaksikan penyertaan kumpulan dikir wanita.
Komitmen RTM itu direalisasi menerusi sokongan serta platform yang disediakan kepada kumpulan sasar bagi menghasilkan karya berkualiti.
Pengarah Program Radio, Saifuzzaman Yusop memaklumkan usaha terbaharu itu melibatkan kerjasama Bahagian Program Radio dengan Berita Ehwal Semasa, (BES) yang mengangkat kandungan tempatan seperti dikir barat ke peringkat global menerusi saluran RTM World.
“Kita akan jadikan platform RTM World sebagai medium seni warisan bangsa ke seluruh dunia tanpa ada lagi sempadan dan inisiatif ini juga diyakini berupaya menarik minat generasi baharu untuk mengenali dan menghargai keunikan budaya tempatan, “katanya selepas menyaksikan Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 peringkat suku akhir kategori lelaki yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong.
Sementara itu, Pengarah BES, Md Shahri Saripan pula berpandangan, inisiatif berterusan seperti ini penting dalam memastikan seni warisan kekal relevan.
“Banyak program di kelantan ini, boleh kita angkat untuk dibawa ke pentas dunia dan dikir barat ini antara kandungan yang diketengahkan dalam rtm world,”katanya.
Seruling Kasih, Kala Maharaja, Medan Kemulang dan Sidi Sakti Melor merupakan empat kumpulan yang berjaya mengesahkan slot ke separuh akhir Pertandingan Dikir Barat 2026 yang di jadual berlangsung di Kuala Lumpur, 18 April ini.
Penganjuran kali ini mendapat kerjasama strategik daripada Raja Perfume dan Lavabelle dan mencatat sejarah apabila julung kalinya menyaksikan penyertaan kumpulan dikir wanita.