fb fb fb fb fb

RTM perkasa seni khat melalui telefilem 'Sulaman Cinta Khat'

Isaac watak utama dalam Sulaman Cinta Khat / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 September– Seni khat dan tulisan Jawi, yang telah lama menjadi sebahagian daripada warisan kebangsaan Malaysia, terus diperkasa melalui telefilem terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk 'Sulaman Cinta Khat', arahan Ungku Ismail Aziz.

Menurut RTM, drama itu mengetengahkan kisah seorang pemuda berbangsa Cina bernama Isaac, dilakonkan oleh Ooi Liang Chia, yang mencintai seni tulisan khat tetapi berdepan pelbagai cabaran dalam mengejar impiannya.

Kisah tersebut turut memaparkan watak Mardhiah, seorang pelajar terbaik dalam kelas khat yang dilakonkan oleh Sharifah Husna, yang menjadi teman kepada Isaac.

Isaac, yang sering diganggu mimpi mengenai tulisan khat, mendapat nasihat daripada Mardhiah dan pemilik pusat kaligrafi, Encik Akhtar, tentang usaha untuk memperbaiki kemahirannya.

Konflik memuncak apabila Isaac gagal dalam ujian penilaian tulisan khat, dan perjalanannya ke Terengganu untuk belajar daripada Aliudin membawa perubahan besar dalam hidupnya.

Telefilem tersebut turut dilakonkan oleh Ungku Ismail, Atiq Azman, Alvin Wong, Ain Ivone, dan Jo Lin.

Ia boleh ditonton melalui platform RTMKlik di rtmklik.rtm.gov.my.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM