fb fb fb fb fb

RMK13: Gaji minimum hak semua pekerja, termasuk pekerja asing

Steven Sim berkata Akta Kerja 1955 memperuntukkan hak gaji minimum kepada semua pekerja, tanpa mengira warganegara. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Kenaikan gaji minimum di Malaysia mewakili nilai kemanusiaan negara, yang meraikan hak kesamarataan semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, menjawab pandangan yang mempersoalkan keperluan membayar gaji minimum kepada pekerja asing.

“Hakikatnya, dalam kalangan lebih kurang 4.37 juta pekerja di Malaysia yang mempunyai gaji di bawah RM1,700 sebulan sebelum pelaksanaan kadar gaji minimum yang baru, 80 peratus merupakan rakyat Malaysia. Orang kita juga,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kenaikan tersebut beri manfaat paling besar kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Malah, statistik menunjukkan, pekerja Malaysia dalam kumpulan 10 peratus bergaji paling rendah telah menikmati peningkatan gaji sehingga 60 peratus dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan dasar gaji minimum.

Beliau turut menegaskan bahawa Akta Kerja 1955 memperuntukkan hak gaji minimum kepada semua pekerja, tanpa mengira warganegara.

“Undang-undang ini bukan sekadar angka dan aksara dalam warta kerajaan tetapi lambang nilai kemanusiaan kita. Asas isu ini bukan sekadar ILO atau undang-undang, tetapi kita harus buat perkara yang betul. Ini hak asasi manusia,” ujarnya.

Beliau berpandangan, menafikan hak gaji minimum kepada pekerja asing akan memberi kesan jangka panjang kepada pekerja tempatan sendiri.

“Apabila gaji pekerja asing ditekan rendah, gaji pasaran buruh akan ditanda aras ke tahap yang sama. Majikan akan mengutamakan pekerja asing dan akhirnya gaji anak tempatan pun akan diheret turun,” jelasnya.

"Inilah bentuk persaingan yang tidak adil ke bawah (unfair competition to the bottom) yang akan merugikan rakyat kita sendiri."

“Jika kita biarkan sistem perburuhan negara menindas golongan tertentu waima pekerja asing, sistem yang sama akhirnya akan memudaratkan rakyat kita sendiri,” katanya lagi.

TUN JULIA MOHD TAHIR