fb fb fb fb fb

RMK13 fokus pembangunan infrastruktur asas luar bandar, pedalaman

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Kementerian Ekonomi memberi jaminan bahawa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, kerajaan memahami cabaran yang dihadapi penduduk di kawasan pedalaman termasuk di Sarawak dan Sabah, yang masih berdepan kekangan dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, hospital, sekolah serta bekalan air dan elektrik.

“Seiring dengan pendekatan Ekonomi MADANI, pelaksanaan projek di bawah RMK13 akan menempuhkan kepada tiga teras utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkasa tadbir urus.

Strategi ini akan diterjemahkan melalui projek-projek seperti peluasan jaringan jalan luar bandar, peningkatan akses air bersih, bekalan elektrik kemudahan pendidikan dan kesihatan serta peluasan liputan digital,” katanya di Dewan Rakyat ,hari ini.

Penyataan itu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau.

Tambahnya, kelulusan bagi projek pembangunan di bawah RMK13 akan dibuat berdasarkan data dan keperluan sebenar rakyat, selain diselaraskan bersama kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan yang lebih berfokus.

Kementerian Ekonomi juga telah melaksanakan Program Jelajah Jalinan Borneo bagi memperkenalkan RMK13 serta mendapatkan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi mengenai keperluan dan projek kritikal di kawasan masing-masing.

"Maklum balas itu akan disalurkan kepada kementerian berkaitan untuk pertimbangan dan pelaksanaan,” jelasnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM