fb fb fb fb fb

Pihak swasta digalak pertingkat penglibatan dalam program CSR

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Pihak swasta digalak meningkatkan penglibatan dalam program berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya dalam sektor kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif seumpama itu berupaya meringankan beban kewangan golongan memerlukan yang mempunyai kesukaran menampung kos rawatan.

Sekaligus, meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memberi harapan kepada pesakit untuk berjuang melawan penyakit.

"Saya menyeru supaya lebih ramai lagi bukan sahaja syarikat individu, tetapi yang ada lebihan bolehlah menyumbang ke universiti, ke hospital untuk membantu supaya dapat meringankan bebanan mereka memerlukan rawatan perubatan di PPUM dan banyak hospital lain."

"Kita boleh membuat sumbangan dan saya kira ini bukan sahaja sebahagian daripada pendapatan kita boleh dibayar melalui zakat dan zakat itu akan kembali sebahagiannya ke pihak hospital. Dan ini sudah pasti membantu ramai rakyat kita untuk menjalani rawatan yang sepatutnya," katanya.

Datuk Seri Fadillah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan 99 Speed Mart Sdn Bhd bernilai RM2 juta kepada tabung kebajikan pesakit PPUMCare di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Tabung PPUMCare merupakan tabung yang ditubuhkan bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada pesakit yang memerlukan rawatan perubatan dan tabung ini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang awam dan pihak korporat.

Sepanjang sedekad penubuhannya, Tabung PPUMCare telah membantu seramai 14,315 orang pesakit mendapatkan rawatan di PPUM.

Bantuan yang disalurkan meliputi pelbagai disiplin klinikal termasuk Pediatrik, Onkologi, Surgeri Ortopedik, Psikiatri, Kardiologi, Respiratori, Rehabilitasi, dan Medikal.

Semua penerima manfaat tabung akan melalui proses penilaian biopsikososial yang dijalankan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat di Pusat Kerja Sosial Perubatan PPUM.

Ia bagi memastikan setiap bantuan diberikan secara telus dan berdasarkan kewajaran, kelayakan, kadar serta tempoh yang bersesuaian. 

EMMI NORALIZA ADNAN