fb fb fb fb fb

RMK-13: Semak semula inisiatif perlu ditambah baik, tidak relevan

Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ida Md Yasin (gambar kecil)

KUALA LUMPUR, 4 Januari – Semak semula inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) disifatkan sebagai langkah wajar untuk memperbaiki kelemahan sedia ada dan memastikan perancangan yang lebih mampan bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ida Md Yasin, langkah itu penting untuk menilai keberkesanan setiap inisiatif dan menyesuaikannya dengan keperluan semasa.

Beliau mencadangkan tiga kategori semakan, iaitu inisiatif berimpak positif, perlu penambahbaikan, dan tidak lagi relevan.

"Bagi inisiatif yang impaknya positif, ia perlu diteruskan. Manakala, bagi inisiatif yang tidak begitu baik tetapi masih relevan, kaedah pelaksanaannya perlu diperbaiki," katanya ketika dihubungi RTM baru-baru ini.

Dr. Ida turut menekankan bahawa sesetengah inisiatif mungkin tidak lagi relevan dalam tempoh lima tahun, dan ini memberi ruang untuk menggantikannya dengan inisiatif baharu yang lebih sesuai dengan keadaan semasa.

Tambahnya, semakan semula adalah peluang penting untuk memperkasa program sedia ada dan memastikan strategi pembangunan ekonomi yang lebih mampan dalam RMK-13.

"Langkah ini memandu strategi ekonomi negara agar kekal relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan," ujarnya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta Pelan Tindakan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) dan Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 disemak semula agar selari dengan fokus RMK13.

Keperluan itu wajar untuk mengenal pasti pencapaian, jurang, dan ruang penambahbaikan, terutamanya dalam memperbaiki perkhidmatan kepada masyarakat desa.

GRACE AISYAH KEDAYAN