fb fb fb fb fb

RM850 sebulan hanya imbuhan bukan gaji imam

KUALA LUMPUR, 16 Mac - Sebanyak RM146.6 juta peruntukan disalurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada 14, 373 orang imam masjid kariah di seluruh negara pada tahun lalu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata peruntukan itu merupakan pembayaran berbentuk imbuhan sebanyak RM850 secara bulanan kepada imam-imam masjid yang bukan gaji dan tidak dapat dibandingkan dengan paras gaji minima.

"Selain pemberian imbuhan berkenaan, para imam turut diberikan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bantuan RM600 secara one off pada tahun ini, meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu RM500," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan juga sangat peka dengan sentiasa mengkaji dan membuat penilaian berkaitan imbuhan bulanan imam masjid kariah dari semasa ke semasa dan juga berdasarkan kepada situasi kewangan negara.

“Pada tahun 2011 pula, dalam pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri ketika itu telah mengumumkan kenaikan kadar imbuhan bulanan imam masjid kariah kepada RM 750 sebulan.

“Melalui pembentangan Bajet Tahun 2017 yang diumumkan pada Oktober 2016, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar imbuhan bulanan imam sekali lagi kepada RM 850 sebulan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar Mohd (BN-Jempol) yang meminta kerajaan menyatakan pertimbangan menaikkan elaun imam masjid dengan mengambi kira kos sara hidup yang meningkat.

(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar)

Media Baharu