KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Peruntukan sebanyak RM6.17 bilion menerusi Belanjawan 2024 kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilihat komprehensif dalam menyokong keselamatan dan keterjaminan makanan.
Penganalisis Ekonomi Pertanian, Profesor Datuk Dr. M.Nasir Shamsudin berpandangan peruntukan tersebut membantu meningkatkan pengeluaran makanan, permintaan dan mempercekap rantaian bekalan makanan.
Katanya, produktiviti petani, penternak dan nelayan yang dilindungi oleh inisiatif perlindungan bencana juga akan menyokong rantaian bekalan agar tidak terputus.
"Jadi input-input pertanian, kalau skim tender terbuka akan dapat mempercekap rantaian bekalan input pertanian. Pada kali ini telah dibajetkan dari segi skim bencana dan juga skim takaful padi. ini adalah penting mengurangkan kesan daripada bencana alam," katanya kepada RTM.
Tambah Dr. M.Nasir, peruntukan itu juga membantu meningkatkan pendapatan pesawah dan nelayan menerusi subsidi, insentif dan kenaikan harga lantai belian padi.
Selain itu, katanya penghapusan harga siling ayam membolehkan pasaran tempatan berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan bahan makanan itu di pasaran.