fb fb fb fb fb

RM5.7 juta naik taraf kampung India di Selangor

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming /Foto BERNAMA

SEPANG, 14 Oktober - Sebanyak RM5.7 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek pembangunan fizikal di perkampungan India di Selangor pada tahun ini.

Peruntukan tersebut melibatkan pelaksanaan 30 projek menaik taraf infrastruktur, kemudahan awam, dan aspek keselamatan di kawasan perkampungan terlibat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan projek ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi akses kepada fasiliti dan kemudahan asas, malah turut membuka peluang ekonomi dan sosial kepada komuniti setempat.

“Sempena program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berlangsung di Parlimen Sepang, khasnya bersempena sambutan Deepavali tahun ini, buat pertama kali dalam sejarah, kita telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada perkampungan India di seluruh negara.

“Tahun ini juga, kita tambah lagi RM5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM15 juta – satu pencapaian bersejarah khususnya untuk negeri Selangor yang saya kasihi,” katanya pada Majlis Sentuhan Kasih MADANI Deepavali di sini.

Secara keseluruhan, kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi melaksanakan 87 projek pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan di 50 perkampungan India di seluruh negara sepanjang tahun ini.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN