(Facebook Teo Nie Ching)
KUALA LUMPUR, 13 April- Sebanyak RM47 juta nilai kerugian akibat penipuan dalam talian dicatatkan di negara ini untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching jumlah laporan kes penipuan itu turut meningkat berdasaran data diperolehi menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Beliau menyatakan situasi membimbangkan ini perlu ditangani di peringkat pengguna.
Pengguna yang celik digital harus tahu akan risiko dalam setiap urusan atas talian dan ancaman penipuan yang sentiasa diperbaharui.
"Salah satu jenis penipuan yang baharu adalah melalui 'QR code scam'. Kebanyakan mangsa tidak fikir panjang selepas mendengar terdapat cabutan bertuah dan mereka tidak semak kesahihan laman web tersebut wujud atau tidak. Mereka juga akan mendedahkan maklumat diri di borang atas talian yang disediakan,"katanya kepada pemberita di sini.
Beliau menasihatkan masyarakat agar sentiasa semak dan membuat pengesahan ke atas syarikat dan bank yang berurusan dengan mereka.
Berkaitan pindaan Akta 588, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, beliau memaklumkan kementerian sedang meneliti draf dan kajian yang telah dilaksana oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum diangkat kepada kelulusan menteri.
(Facebook Teo Nie Ching ketika ditemu bual dalam program SPM)