(FOTO MARITIM LABUAN)
LABUAN, 13 April– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan menahan dua warga Indonesia dan sebuah bot tunda kerana disyaki gagal melaporkan pertukaran nakhoda pada kedudukan 0.4 batu nautika selatan Pulau Papan awal pagi semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Labuan Komander Maritim Mohd Hafiz Abd Mutalib berkata penahanan dibuat menerusi rondaan Op Sejahtera, Op Khas Kuda Laut dan Op Tiris.
"Pemeriksaan mendapati, bot tunda dikendali seorang pemandu dan seorang Chief Officer warganegara Indonesia, masing-masing berusia 52 dan 47 tahun tidak melaporkan pertukaran nakhoda di buku Certificate of Malaysia Registry.
"Bot berserta kru ditahan bersama dokumen dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO),"katanya.
Tambah Mohd Hafiz, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang aktiviti atau salah laku jenayah di laut.
“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk sebarang tindakan,” katanya.
(FOTO MARITIM LABUAN)