fb fb fb fb fb

Polis jalankan siasatan kes wanita pantang bunuh diri

BACHOK, 13 April- Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang maut dengan pisau tertusuk di leher, dalam bilik rumahnya di Kampung Beris, Panchor, Bachok, Kelantan, petang semalam.

Wanita berusia 35 tahun itu ditemukan berlumuran darah dengan pisau masih terbenam di lehernya sekitar pukul 4.00 petang.

Kejadian berkenaan disedari adik mangsa, Wan Muhamad Nasir Wan Mahadi yang terpaksa memanjat tangga untuk melihat wanita terbabit, kerana biliknya dikunci dari dalam.

“Saya terpaksa ambil tangga untuk panjat bilik kakak dan saya nampak kakak saya berlumuran darah dah. Waktu itu lebih kurang pukul 4.00 petang," kata Wan Muhamad Nasir kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sejurus melihat keadaan kakaknya, Muhamad bertindak untuk memecahkan pintu bilik sebelum menghubungi ambulans.


(Adik mangsa, Wan Muhamad Nasir Wan Mahadi ditemu bual pemberita berhubung kejadian berkenaan)

Sementara itu, ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58 tahun berkata dia sempat melihat anak perempuannya itu mengambil sebilah pisau pemotong sayur di dapur sebelum memasuki bilik.

"Arwah masa itu masih hidup masa saya tengok dia berlumuran darah itu kemudian cabut pisau di leher dia. Saya terus minta ahli keluarga untuk bawa ke Klinik Kesihatan Beris, di Panchor," kata Zuraizah kepada pemberita.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa menyerahkan bayinya yang berusia 36 hari untuk dijaga seketika dengan alasan mahu bercakap di telefon bersama suaminya yang berada di Kedah.

Mangsa yang merupakan seorang suri rumah dikatakan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ketika membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada sebelah pagi, hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian terbabit dengan siasatan masih dijalankan.

Mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk proses bedah siasat.

Media Baharu