(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 13 April- Pengendali sistem rel transit di Lembah Klang, Rapid Rail akan melanjutkan waktu operasi beberapa stesen rel terpilih Sabtu ini sempena Aidilfitri.
Menurut Rapid Rail, pelanjutan sehingga pukul 1.30 pagi itu bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir menyambut Aidilfitri.
"Stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel yang akan dilanjutkan perkhidmatan ialah LRT Laluan Kelana Jaya: Masjid Jamek dan KLCC, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling: Masjid Jamek, MRT Laluan Kajang: Bukit Bintang, Laluan Monorel: Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit.
"Stesen-stesen sambungan akan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir.
"Stesen- stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
"Penumpang juga diminta menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan,"katanya menerusi kenyataan.
Berikutan penutupan enam stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, perkhidmatan bas perantara LRT 11 juga turut dilanjutkan sehingga pukul 1.30 pagi bagi membolehkan pengguna mengakses ke stesen-stesen berkenaan.
Tambahnya, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL atau melayari laman web www.myrapid.com.my.
(Foto BERNAMA)