fb fb fb fb fb

RM3.8 juta diperuntuk bagi menjayakan Program Bantuan Rumah Orang Asli di  Kelantan

FOTO RTM

GUA MUSANG, 7 Oktober- Kerajaan memperuntukkan RM3.8 juta bagi membina 59 buah kediaman masyarakat Orang Asli bawah Program Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA) di  Kelantan sejak empat tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk Orang Asli serta menikmati kehidupan dalam persekitaran yang lebih selesa.

Menurutnya, projek tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jakoa.

"Biasanya pengerusi dan penghulu buat permohonan kepada JAKOA dan kita akan bagi keutamaan kepada pihak yang memohon. Kita ada juga baik pulih bagi rumah-rumah yang menghadapi kerosakan disebabkan bencana contohnya kebakaran atau kena ribut.

"Harapan pihak jabatan supaya rumah yang diberikan ini dapat dijaga sebaik mungkin dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penghuni yang menerima rumah tersebut dan kita juga mengharapkan selepas ini lain-lain rumah yang telah uzur dapat kita bina baru mengikut kehendak dan keperluan masyarakat Orang Asli yang ada di setiap kampung," katanya.

Kos pembinaan bagi sebuah rumah PBROA ialah sebanyak RM66,000.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE