fb fb fb fb fb

Cuti mingguan Johor ditukar semula Sabtu, Ahad bermula Januari 2025

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sudah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan.

JOHOR BAHRU, 7 Oktober- Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari tahun hadapan.

Menurut Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, baginda sudah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan.

"Selepas mendapat perkenan dan restu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.

“Saya juga menitahkan agar YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek, ” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda berharap agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak berkaitan akan memberi ruang dan masa bagi para pekerja beragama Islam menunaikan solat Jumaat mengikut waktunya.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

ZEHRA BINTI ZAMBRI