KEMAMAN, 30 November-Lebih RM26 juta diperuntukan kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja-kerja membina dan menaiktaraf sebanyak 137 buah masjid di Terengganu sejak 2023.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata, peruntukan yang disalurkan kerajaan menunjukkan komitmen kerajaan dalam memberi keselesaan kepada jemaah selain mempertingkatkan syiar Islam.
Beliau memaklumkan, ketika ini dua lagi projek pembinaan masjid baharu sedang dilaksanakan iaitu Masjid Kampung Apal di Besut, yang dijangka siap hujung tahun ini, dan Masjid Kampung Langgar di Hulu Terengganu yang dijangka siap pertengahan tahun depan.
“Yang RM26 juta tu untuk satu negeri, termasuk semua daerah. Cuma ikut rekod kita dari tahun 2023 hingga 2025, kerja-kerja pembaikan melibatkan 137 buah masjid yang kita laksanakan", katanya demikian selepas majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Masjid Jamek Kerteh, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa masjid yang siap dinaik taraf akan diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk pengoperasian selanjutnya.
Beliau berkata, kerja-kerja menaiktaraf Masjid Jamek Kerteh telah bermula April tahun lalu dan siap 6 November lalu membabitkan kos RM1.73 juta.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan ruang solat tambahan berkapasiti 600 jemaah, kemudahan tandas serta empat unit kediaman imam dan bilal, selain beberapa infrastruktur sokongan lain.
Sementara itu, penduduk yang ditemui menzahirkan penghargaan atas peruntukan kerajaan Persekutuan yang membolehkan masjid itu dinaik taraf demi keselesaan jemaah.
Pengerusi Masjid Jamek,Kerteh menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung projen naik taraf projek berkenaan.
“Saya bagi pihak Jawatankuasa Masjid Jamek Kerteh mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, kontraktor dan kerajaan Madani atas projek menaik taraf masjid ini… Insha-Allah", katanya.
Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek, Kerteh pula menyifatkan projek naik taraf berkenaan mampu memberi keselesaan kepada jemaah bagi menunaikan ibadah.
“Sebelum bangunan ini siap, kami terpaksa gunakan ruang tambahan yang tidak begitu selesa daripada panas, hujan.
"Dengan adanya bangunan kekal ini, ia beri keselesaan kepada jemaah, terutama untuk solat Jumaat dan solat hari raya", ujarnya.
