BANDAR HILIR, 17 Oktober - Sebanyak RM200,000 disalurkan kepada lebih 1,000 keluarga masyarakat India bersempena perayaan Deepavali di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban golongan yang memerlukan, selain memberi sinar cahaya dalam sambutan berkenaan.
Antara keistimewaan sambutan Deepavali tahun ini, kerajaan negeri turut membuka penyertaan kepada 40 usahawan tempatan untuk berniaga di Bazaar Deepavali yang berlangsung selama dua minggu di Little India sehingga Isnin ini.
"Setiap tahun kita akan mengadakan sambutan Deepavali dengan mewujudkan bazar Deepavali dan memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil masyarakat India untuk mencari pendapatan sepanjang tempoh perayaan ini.
"Kerajaan Negeri Melaka menggalakkan supaya mereka yang terlibat dapat berniaga selama dua minggu dan berakhir pada hari deepavali iaitu pada Isnin ini," katanya selepas merasmikan Pesta Deepavali 2025 peringkat negeri di Little India, Melaka.
Lebih 2,500 pengunjung hadir memeriahkan majlis tersebut.
Selain itu, sebanyak 400 kit makanan telah diagihkan kepada persatuan kebajikan masyarakat India di negeri itu.