fb fb fb fb fb

RM150 juta diperuntuk bina PPR di Mukim Seremban

(FOTO HIASAN)

SEREMBAN, 19 Jun- RM150 juta peruntukan baharu bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Mukim Seremban, Negeri Sembilan diumumkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, hari ini.

Projek berkeluasan 18.5 hektar membabitkan pembinaan 700 unit rumah berkonsepkan kondominium di atas tanah milik kerajaan negeri itu dijangka bermula pada hujung tahun ini.

Harga yang ditawarkan adalah RM45,000 seunit dengan komitmen bayaran bulanan sebanyak RM237 sebulan.

"Kita akan wujudkan konsep baru PPR di mana ada lanskap semula jadi untuk tujuan riadah. Kesemua 48 ekar ini kita akan kekalkan sebahagian besarnya menjadi 'green lung' selaras dengan dasar kementerian untuk memupuk konsep matlamat pembangunan lestari,"kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan surat tawaran menduduki PPRĀ  Ladang Tanah Merah atau PPR Desa Tanjung di Port Dickson.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Seramai 94 pemohon menerima surat tawaran pemilikan rumah secara Skim Sewa-untuk-Milik atau Rent- to-Own (RTO) yang mempunyai keluasan 700 kaki persegi bagi setiap unit.

Projek berkenaan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM20 juta bagi 100 unit rumah termasuk fasiliti dewan serbaguna, surau, medan selera dan tadika.

PPR Desa Tanjung merupakan antara empat buah projek PPR yang telah dibangunkan di Negeri Sembilan oleh KPKT manakala tiga lagi PPR Senawang, PPR Ladang Siliau dan PPR Rantau.


(Nga Kor Ming dan Datuk Seri Aminuddin Harun
menyerahkan surat tawaran PPR Desa Tanjung)

Media Baharu