fb fb fb fb fb

Kakitangan Polycc diingat tidak boleh kekal selesa

(Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Pahang 2022 di Kuantan)

KUANTAN, 19 Jun- Semua kakitangan politeknik dan Kolej Komuniti (Polycc) diingatkan supaya sentiasa terus relevan, responsif, berkesan serta ke hadapan sebagai salah sebuah institusi TVET yang menyediakan bidang-bidang pengajian selaras dengan kehendak pihak industri.

Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Teknologis Zainab Othman berkata, malah sebagai sebuah institusi pendidikan yang mempelopori bidang TVET, kakitangan Polycc tidak boleh kekal selesa.

Sebaliknya, mereka perlu melakukan pembaharuan yang berterusan kerana ekspektasi pelanggan terhadap perkhidmatan awam semakin tinggi.

Tambahan pula institusi itu mempunyai hubungan dan kerjasama yang baik dengan pemain-pemain industri agar kebolehpasaran graduan dalam sektor perindustrian di negara ini terus mendapat permintaan tinggi.

"Selaku penjawat awam, kita tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian. Jangkaan pelanggan atau awam terhadap perkhidmatan awam, hari demi hari semakin tinggi dan keadaan ini sudah tentunya mendesak kita membuat pembaharuan yang berterusan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Pahang 2022 di Kuantan.

Seramai 107 orang kakitangan Polycc Zon Pahang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2022.

Beliau berharap dengan pengiktirafan yang diberikan, ia akan dapat memberi motivasi kepada semua penerima untuk terus meningkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi.

Pengiktirafan itu juga seharusnya mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan semua pegawai dan kakitangan untuk membuktikan keupayaan masing-masing.


(Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik
dan Kolej Komuniti, Teknologis Zainab Othman)

Media Baharu