LAHAD DATU, 8 Julai - Lebih RM10 juta diperuntukkan bagi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN), bagi pembinaan rumah baharu dan baik pulih rumah sedia ada..
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, peruntukan RM20,000 bagi setiap rumah itu membolehkan pemilik memilih bahagian rumah yang ingin dibaik pulih, mengikut keperluan masing-masing.
''Kita ada dua projek sebenarnya, satu projek bina perumahan baharu dan kedua, projek baik pulih. Untuk Sabah sahaja kita fokuskan sebanyak 100 buah rumah untuk dibaik pulih dengan sebuah rumah pada kos RM20,000,'' katanya.
Jelas beliau lagi, proses pemilihan penerima bantuan berkenaan akan dibuat secara telus, berdasarkan keperluan sebenar dan keadaan struktur rumah.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz memberitahu, LKIM ketika ini dalam usaha menubuhkan unit persatuan nelayan di setiap kawasan parlimen, agar pelbagai agenda pembangunan komuniti tersebut dapat dilaksana dengan lebih efektif dan berdaya saing.