fb fb fb fb fb

Kegiatan seleweng LPG bersubsidi semakin membimbangkan

Penyelewengan LPG bersubsidi tidak hanya berlaku di negeri-negeri tertentu, sebaliknya dikesan seluruh negara. Foto/Bernama

KOTA BHARU, 8 Julai - Kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di seluruh negara berada pada tahap yang serius dan perlu segera di kekang. 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, terdapat segelintir peniaga makanan turut terlibat dalam aktiviti tersebut.

Mereka dikatakan membeli LPG bersubsidi dalam kuantiti besar, bukan hanya untuk kegunaan sendiri, tetapi menjualnya kepada industri pada harga lebih murah.

''Yang banyak menggunakan tong gas bersubsidi ini adalah kilang dan syarikat yang tidak dibenarkan. Mereka menggunakannya bagi menjimatkan kos operasi kerana lebih murah,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang media Sesi Libat Urus Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) Pindaan 2021 bersama Persatuan Peniaga Makanan Kelantan di Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Datuk Armizan berkata, penyelewengan itu bukan hanya berlaku di negeri-negeri tertentu, tetapi dikesan seluruh negara.
 
Sehubungan itu, KPDN sedang giat menjalankan sesi libat urus bersama peniaga makanan mikro dan kecil bagi mencari kaedah terbaik mengawal penjualan dan simpanan stok gas LPG.

Sesi libat urus tersebut akan berlangsung sehingga 31 Oktober dan KPDN akan merumuskan hasil dapatan sebelum menggubal peraturan baharu yang lebih efektif dan adil untuk semua pihak.
 
Dalam pekembangan lain, Datuk Armizan berkata, enam syarikat diberikan notis hadir serta 16 aduan diterima pihaknya menerusi Op Kesan 4.0 sejak di laksanakan 1 Julai lalu.
 
Op tersebut di kuatkuasa sejajar dengan pelaksanaan semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
 
Daripada jumlah berkenaan, dua syarikat sudah dipanggil untuk memberi penjelasan.
 
Manakala empat syarikat lagi, akan dipanggil minggu ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pergerakan harga barangan dan perkhidmatan.
 
Sejak 1 Julai lalu, sebanyak 281 premis telah diperiksa di seluruh negara.

ASHRIQ FAHMY AHMAD