(Foto Nur Zuhairah Mohd Zamri, Nurashikin Haron)
SEREMBAN, 7 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sejumlah RM1.27 bilion peruntukan keseluruhan bagi pembangunan sosio- ekonomi di Negeri Sembilan.
Beliau berkata ia termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM0.9 bilion bagi pembangunan negeri itu.
Ia melibatkan projek baharu tahun 2023 termasuk membina jalan susur dari tol baharu Seremban ke Lingkaran Tengah Seremban dengan kos RM600 juta.
Selain itu, projek membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dengan Sungai Pelek dengan kos RM160 juta.
Pembinaan fasiliti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk membina semula sekolah daif dan memperkukuh pendidikan khas juga diberi perhatian melibatkan kos RM280 juta.
"Kerajaan suku penggal yang akan dibentang akhir tahun ini akan diberi tumpuan beberapa perkara mendesak di Negeri Sembilan. Tetapi untuk sekarang ini peruntukan pembangunan sahaja hampir RM1 bilion. Keseluruhan pembangunan sosial ekonomi penambahan menjadikan RM1.27 bilion," katanya kepada pemberita di sini.
Kerajaan juga menyiapkan perbelanjaan berjumlah RM5.8 juta bagi membaik pulih klinik kesihatan daif di Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau, Seremban dam Tampin.

(Foto Nur Zuhairah Mohd Zamri, Nurashikin Haron)