JOHOR BAHRU, 7 Mei- Kertas cadangan dasar baharu kerajaan Johor terhadap kadar kompaun serendah RM50 kepada semua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu sudah memasuki fasa akhir perbincangan.
Dasar baharu itu melibatkan kompaun bagi pembuangan sampah merata-rata dan masalah vandalisme yang sebelum ini berjumlah RM500.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan Johor memperkasa agenda Johor Bersih yang mula dilaksanakan tahun lepas.
Setakat ini, 10 kompaun berjumlah RM5,000 dikeluarkan dalam tempoh dua bulan ini atas kesalahan membuang sampah merata-rata.
(Foto fail)
"Kita juga akan mengkoordinasikan penguatkuasa, contoh di peringkat bandaraya mungkin 10 orang khas penguatkuasaan untuk tindakan kepada buang sampah ini. Bukan setakat buang sampah, termasuk juga vandelisma, termasuk jugak merosakkan landskap dan harta benda PBT kerajaan," katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa perasmian program Gotong Royong Johor Bersih Perdana anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada hari ini di Legaran Segget, di sini.