MUAR, 7 Mei- Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai semula risiko situasi jangkitan COVID-19 dalam negara, pertengahan bulan depan, selepas Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan tamat pada 30 Jun ini.
Penilaian itu susulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan COVID-19 tidak lagi menjadi kecemasan kesihatan awam.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata jawatankuasa teknikal KKM akan berbincang secara lebih terperinci berkenaan perkara itu, melibatkan pandangan WHO dan keadaan terkini dalam negara.
Pihaknya juga sedang menyemak dan mengemaskini garis panduan COVID-19, dengan merujuk transisi pengurusan jangka masa panjang WHO.
"Kita akan meneruskan SOP sedia ada sekarang ini, dan kita masih kekalkan lagi kawasan tempatan jangkitan yang akan sepatutnya berakhir pada Jun ini.
"Jadi kita nak tengok perkembangan sebab ada lagi kes yang kita temui walaupun masih terkawal, dan lihat tahap kepada kes tersebut adalah rendah, satu dan dua," katanya.
(Dr Zaliha Mustafa/Foto fail Bernama)
Beliau berkata demikian selepas mendengar cadangan daripada warga kesihatan di Johor, bagi sesi townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Selatan, di sini hari ini.
Peratusan kes COVID-19 pada 30 April hingga 6 Mei, meningkat 53.1 peratus, iaitu 7,596 kes, berbanding 4,963 kes pada 23 hingga 29 April.
Kadar kemasukan pesakit ke fasiliti awam juga meningkat daripada 5.8 kepada 7.2 bagi 100,000 penduduk pada minggu epidemiology 18/2023.
Meskipun terdapat peningkatan, Dr Zaliha memberi jaminan keadaan COVID-19 dalam negara, terkawal dan perkhidmatan kesihatan di hospital tidak terjejas.
Dalam pada itu, Kertas Putih Kesihatan dilihat menjadi permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan negara dan akan dibentang di Parlimen pada bulan depan.