fb fb fb fb fb

Gagal carum PERKESO, 21 majikan di Terengganu didakwa

(Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri Terengganu, Farihah Che Husin
menyerahkan surat faedah pengurusan mayat kepada balu Allahyarham Muhammad
Husaini Amir Harun, Nur Farahan Shahdan) 

KUALA NERUS, 7 Mei - Sejumlah 21 majikan di Terengganu didakwa atas pelbagai pertuduhan sejak awal tahun ini hingga April lalu.

Kebanyakannya didakwa kerana gagal mencarum dan mendaftar mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 serta Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri, Farihah Che Husin berkata seramai 27 majikan turut dikompaun kerana lewat melaporkan kemalangan pekerja dalam tempoh ditetapkan.

Sehubungan itu, majikan disaran mencarum pekerja masing-masing sepanjang pelaksanaan bulan Op Pemutihan Perkeso 2023 bermula 1 Mei hingga 30 Jun ini.

Lebih istimewa, majikan diberi tempoh dua bulan kali ini untuk tampil mendaftar secara sukarela.


(Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri Terengganu, Farihah Che Husin)

Sekiranya masih gagal berbuat demikian selepas tempoh Op Pemutihan, tindakan tegas akan diambil.

"Sekiranya majikan masih gagal melaksanakannya, kita dah bagi dua bulan dah, ruangnya dulu kita bagi sebulan..pada 1 Julai, PERKESO tak akan berkompromi, mereka yang masih gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang dan boleh didenda RM10,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya skali."

Beliau sebelum itu menyerahkan surat faedah pengurusan mayat kepada balu Allahyarham Muhammad Husaini Amir Harun, di sini.

Nur Farahan Shahdan layak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan akan menerima pencen bulanan seumur hidup.

Allahyarham Muhammad Husaini dan adiknya, Muhammad Amirul Syafiq Harun meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya PLUS berhampiran Senawang, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.

Media Baharu