KUALA LUMPUR, 7 Mei - Kakitangan pertubuhan media berpeluang menyertai pertandingan mencari harta karun dari Kuala Lumpur ke Ipoh sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang dijadual berlangsung di ibu negeri Perak itu pada 27 hingga 29 Mei ini.
Pengarah Projek HAWANA 2023 D. Arul Rajoo dalam kenyataannya hari ini, berkata penyertaan bagi kembara mencari harta karun ‘Jom ke Ipoh’ pada 27 Mei itu, dibuka untuk dua orang atau empat orang sepasukan dengan yuran penyertaan RM100 setiap pasukan.
Beliau berkata peserta akan diberi kemudahan penginapan di hotel di Ipoh pada malam Sabtu, 27 Mei selain kemeja-T untuk dipakai semasa pertandingan.
(Foto hiasan)
“Hadiah disediakan hingga tempat ke-10, dengan tempat pertama akan meraih RM4,000, tempat kedua (RM2,500) dan ketiga (RM1,500),” katanya yang juga Ketua Penyiaran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Sementara itu, taklimat kepada peserta akan diadakan pada 25 Mei ini di Wisma Bernama, Jalan Bernama, off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Borang penyertaan boleh diperoleh di https://forms.gle/PpyTtGmiGuqWozzY6 dan tarikh tutup penyertaan pada 14 Mei ini. Untuk maklumat lanjut, hubungi Arul Rajoo di talian 012-3958950 atau Mohammad Fikri Ahmad di talian 012-3269692. -BERNAMA