fb fb fb fb fb

Jemaah perlu kekal disiplin ketika laksana ibadat haji

SHAH ALAM, 7 Mei- Bakal jemaah haji Malaysia terutama dari Selangor diingatkan menjaga disiplin dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bakal jemaah juga perlu berbincang secara baik dengan pegawai Tabung Haji (TH), jika berdepan sebarang kekurangan atau permasalahan.

Tegas baginda, tindakan menyebarkan berita tidak tepat di media sosial hanya merumitkan keadaan dan tidak menyelesaikan masalah.

"Haji adalah satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan tentang ibadat haji yang jelas. Justeru beta ingin menasihati tuan-tuan dan puan-puan untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya.

"Sepanjang berada di Tanah Suci, bersihkan niat dan gunakan sepenuh masa serta tenaga tuan-tuan dan puan-puan untuk melaksanakan amal ibadah agar beroleh haji yang mabrur.

"Beta juga menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain," titah baginda pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

(Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (enam kanan) berkenan bergambar ketika
hadir ke Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor
Musim Haji 1444h di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini/Foto Bernama)

Sementara itu, Sultan Selangor memohon doa dari rakyat agar baginda dan Tengku Permaisuri Selangor diberi kesihatan baik untuk menunaikan fardhu haji dengan sempurna.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada TH yang sentiasa bersedia menjaga kebajikan semua jemaah haji Malaysia.

Seramai 6,000 jemaah dari Selangor menyertai Kursus Perdana Haji 2023 daripada 31,600 jumlah keseluruhan Jemaah Haji Malaysia.

Media Baharu