fb fb fb fb fb

RM1,000 bantuan untuk keluarga yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Janda Baik - PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei - Bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada setiap keluarga yang terlibat dalam insiden tanah runtuh yang disebabkan kejadian kepala air di Janda Baik, Bentong bagi meringankan beban akibat kerosakan peralatan rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan berkenaan akan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama Setiausaha Politik beliau semasa melawat mangsa nanti.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

"Rasa simpati terhadap Keluarga Malaysia yang terlibat dalam tanah runtuh disebabkan kejadian kepala air di Janda Baik, Bentong, Pahang. Saya difahamkan kejadian berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi tadi di kawasan hulu (kawasan gunung Nuang) mengakibatkan fenomena kepala air", katanya.

Perdana Menteri yang kini berada di Amerika Syarikat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat memaklumkan perkara tersebut dalam kemaskini di Facebook hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri turut menasihatkan agar penduduk di kawasan sekitar sentiasa berhati-hati kerana walaupun keadaan air sungai sudah kembali surut namun masih agak deras dan keruh.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada agensi penyelamat yang menghulur tenaga membantu mangsa.

Media Baharu