AYER HITAM, 4 Mac- Penganjuran program RIUH Keluarga Malaysia merupakan serampang dua mata bagi membantu penggiat seni dan industri kreatif menjana pendapatan dan sebagai ‘pengubat jiwa’ untuk rakyat yang terkesan dengan pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19.
Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Mastura Ahmad Mustafa berkata ia juga bertujuan mengetengahkan hasil-hasil karya dan aktiviti dijalankan para penggiat seni dan industri kreatif.
"Kita akan cuba promosikan hasil kreatif industri kreatif negara di pasaran antarabangsa melalui penyiaran dalam RTM sendiri melalui misi perdagangan yang kita akan laksanakan dan juga kita akan tandatangan beberapa memorandum persefahaman dengan negara rakan seperti Australia, China utk kita hasilkan yg dipanggil 'co production' dalam hasilkan suatu kandungan kreatif," katanya.
(Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik dan Industri Kreatif) KKMM, Mastura Ahmad Mustafa)
Pemilihan Ayer Hitam sebagai lokasi pertama program RIUH Keluarga Malaysia di peringkat negeri kali ini adalah memandangkan lokasi itu yang terkenal dengan hasil produk seni dan kreatif terutama barangan seramik.
Jelasnya antara yang menarik di program yang berlangsung di Arena Warna, Ayer Hitam bermula semalam hingga esok itu ialah penjualan barangan kreatif, jualan makanan, persembahan seni dan muzik, bengkel kreatif, pameran seni serta gerai pop up.
Inisiatif ini dijangka akan mewujudkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi dan menyokong 2,000 penggiat dan perniagaan tempatan.