fb fb fb fb fb

Banjir kembali surut, penduduk ambil peluang bersihkan rumah

PASIR MAS, 4 Mac- Penduduk terjejas banjir di sekitar Kampung Tasik Bendang Guchil, Rantau Panjang, Kelantan mula membersihkan rumah masing-masing selepas beberapa hari terkesan dengan bencana itu.

Ia susulan keadaan cuaca yang baik dengan keadaan banjir dan paras air sungai telah kembali surut.

Tinjauan di kampung berkenaan mendapati penduduk kini sibuk membersihkan kediaman masing-masing yang teruk terjejas dengan banjir luar jangka.

Menurut salah seorang penduduk, Rosnida Mat Zaib, kesan lumpur menyebabkan kerja-kerja mencuci dijangka akan mengambil masa lebih seminggu.

“Kalau nak bersihkan dalam masa seminggu pun belum tentu bersih lagi sebab boleh dikatakan semua barang-barang terkena lumpur. Nak tak nak kena bersihkan satu- satu," katanya.

(Mangsa terjejas banjir, Rosnida Mat Zaib)


Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zalia Muhamad menyifatkan banjir kali ini adalah luar jangka dan lebih teruk berbanding banjir pada 2014 dan mengakibatkan banyak barangan rosak termasuk kelengkapan rumah.

“Memang lepas surut tengok banyak kerosakan yang berlaku. Saya mula membersihkan sejak semalam, dari Subuh mula sampai sekarang belum selesai lagi, banyak barang yang perlu dipunggah dan dibersihkan semula," kata Zalia.

Ujarnya, walaupun barangan telah dialihkan ke tempat tinggi namun, dia tidak menyangka paras air kali ini lebih tinggi.


(Mangsa terjejas banjir, Zalia Muhamad)

Media Baharu