fb fb fb fb fb

Jelajah AKM bantu usahawan tingkat perniagaan tatkala pandemik

(Timbalan Menteri Perpaduan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semasa ditemu bual wartawan)

JOHOR BAHRU, 4 Mac- Penganjuran program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, (Jelajah AKM) yang bermula semalam selama tiga hari di Dataran Angsana di sini antara usaha kerajaan membantu usahawan dan mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Perpaduan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, selaras Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) penganjurannya juga menjadi platform penyaluran maklumat dasar kerajaan secara terus kepada rakyat.

Jelasnya, penganjuran di Johor lebih fokus kepada nanas memandangkan negeri itu terkenal dengan hasil pertanian jenis itu.

"Di sini kita hendak memfokuskan pertanian nanas kerana Johor amat terkenal dengan pertanian nanas mungkin orang tak tahu dan negeri lain kita akan bagi tumpuan kepada kekuatan negeri tersebut sesuai mengikut cita rasa penduduk tersebut," katanya kepada pemberita semasa mengadakan tinjauan program tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijadual merasmikan Jelajah AKM itu, esok.

(Antara usahawan yang mengambil bahagian sempena Jelajah AKM di Dataran Angsana, Johor Bahru) 

Sementara itu, jelajah AKM itu banyak memberi ruang kepada usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Respon positif itu diterima daripada usahawan terlibat yang turut menyatakan bahawa mereka dapat menjalankan padanan perniagaan bersama usahawan lain.

"Program ini sangat bagus, amat digalakkan, sebenarnya memang sangat diperlukan usahawan sebab di sini kita akan mula padanan perniagaan, mungkin sesama kita (usahawan) boleh bertuka-tukar produk," kata Musrifah Masri, salah seorang usahawan terlibat.

Seorang lagi usahawan Muniran Sulaiman berkata, "kita mendapat rakan-rakan niaga baharu yang boleh berkongsi perniagaan dengan kita.. yang boleh jual produk dengan kita yang boleh jualkan produk kita, kita boleh jual produk dia jadi secara tidak langsung kita dapat satu agensi lain untuk pasarkan produk kita," katanya.

"Sangat-sangat membantu kami untuk melebarkan sayap kami sebab kami dapat peluang berjumpa dengan ramai orang dan dapat peluang untuk memperkenalkan produk kita, juga dapat peluang bagaimana untuk kami masuk ke pasaran lebih besar," kata seorang lagi usahawan, Maslinda Ahmad.

Sebanyak 150 usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) terlibat memasarkan produk tempatan mereka menerusi JAKM itu.

Media Baharu