fb fb fb fb fb

Kabinet setuju laksana projek MRT3, tambah baik LPB, projek tebatan banjir -PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Kabinet bersetuju untuk melaksanakan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) serta menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan projek tebatan banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan, terutama golongan Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta pekerjaan untuk 'Keluarga Malaysia'

"Ini akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, khususnya objektif kerajaan untuk terus memperkasa sektor perniagaan serta mencipta 600,000 pekerjaan, tahun ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

"Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan membabitkan jajaran sepanjang 367 kilometer (km) dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.

"Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan membabitkan jajaran 786km dan telah mencapai 78 peratus kemajuan kerja setakat ini.

"Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB)," katanya.

(Gambar Hiasan)

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan ketika ini menyediakan peruntukan pembangunan bernilai RM1 bilion setahun bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi projek tebatan banjir.

Selain itu, katanya, Kabinet memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion bagi tempoh 2023 sehingga 2030, selepas mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

"Pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara serta kesejahteraan rakyat.

Ismail Sabri berkata, keputusan melaksanakan projek berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia.

"Ia juga bertujuan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara," katanya.


Media Baharu