PASIR MAS, 4 Mac- Bukan sahaja bantuan menyelamat penduduk terjejas banjir tetapi turut membantu kerja-kerja pembersihan serta bantuan keperluan asas.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkolaborasi bersama penduduk di Kampung Gual Mesa, Pasir Mas, Kelantan
Skuad Kebajikan Bomba Kelantan bersama Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), merupakan NGO yang terlibat.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, menerusi misi “Kita Sayang Demo”, pihaknya bersama NGO turun padang sendiri ke lokasi terpilih.
Dua kumpulan digerakkan ke lokasi penduduk yang memerlukan.
Bantuan keperluan asas seperti dapur gas, tilam dan peralatan mandian turut diberikan kepada penduduk terjejas.
"Saya mengharapkan kerja sebegini dari jabatan bomba, NGO, media dan penduduk akan terus bergabung dengan dan penduduk akan terus bergabung dengan kita sama-sama kita bantu masyarakat yang memerlukan sekarang ni bukan sahaja di Pasir Mas, di Rantau Panjang pun kita buat walaupun keadaan macam cuaca tak berapa bagus kita akan bantu membersihkan rumah, masjid ,surau, sekolah kita buat," kata Zainal.
Beliau menyatakan perkara itu ketika turun padang bersama NGO membersihkan kediaman penduduk yang terjejas di Kampung Gual Mesa, Pasir Mas, Kelantan.
(Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin)
Bagi wakil NGO, Penyelaras Bantuan Bencana Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Idzham Hadi Sidik, pihaknya turun padang membantu penduduk terjejas sejak Rabu lepas setelah air banjir surut.