fb fb fb fb fb

RISDA kenal pasti 2,000 hektar kebun getah terbiar di Pahang untuk dipulihkan

Foto fail

MARAN, 28 Jun- Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Pahang mengenal pasti 2,000 hektar kebun getah terbiar milik pekebun kecil terbiar di negeri Pahang, untuk dipulihkan pada Julai tahun ini.

Pengarah RISDA Pahang, Muhamad Rizal Ahmad berkata, jumlah yang disasarkan itu adalah daripada keseluruhan 170,000 hektar kebun getah yang masih beroperasi di seluruh negeri itu.

"Setakat ini kita kenal pasti 2000 hektar yang kita cuba pulihkan. Dari segi kaedahnya, program getah terbiar kita bagi bantuan baja, kita juga bagi set alat torehan dan akhirnya memberi manfaat pembersihan kawasan kebun", katanya kepada pemberita selepas Program Pekebun Risda Pekebun kecil Makmur di Kampung Sungai Ling, Maran, Pahang.

Katanya, pelbagai faktor kebun getah terbiar dan tidak ditoreh, antaranya pekebun yang sudah berusia, meninggal dunia dan pemilik telah  berpindah ke kawasan lain.

RISDA Pahang sudah mengenal pasti kebun getah terbiar itu dan projek mengaktifkan semua pengeluarannya akan bermula Julai ini dengan kerjasama pemilik dan waris.

Menurutnya, pekebun menerima bantuan input pertanian seperti peralatan menoreh, baja dan sebagainya menerusi program getah matang itu.

Tambah beliau, pekebun getah yang tidak termasuk dalam senarai pemulihan kebun digalakkan menyertai program itu berikutan harga komoditi itu kini mencecah RM4.30 sekilogram.

RISDA Pahang bertekad usaha pemulihan kebun getah terbiar ini dapat dilaksanakan dengan cekap dan berterusan tanpa ada halangan untuk mengembalikan getah sebagai produk utama negara.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan RISDA bagi memulihkan kebun getah terbiar itu sekali gus meningkat sosioekonomi rakyat di luar bandar.

ROSLINA BINTI DIN