fb fb fb fb fb

Remaja perempuan hilang ditemui selamat

Foto hiasan

ALOR SETAR, 31 Julai- Remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang pada 28 Julai lalu telah ditemui dalam keadaan selamat.

Siti Alia Umairah Naim ditemui orang awam di sekitar Taman Rekreasi Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah pada pukul 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner (ACP) Siti Nor Salawati Saad dalam satu kenyataan berkata, remaja tersebut keluar rumah dan pergi ke rumah kawannya berdekatan dengan lokasi dijumpai.

Dia meminta izin untuk tinggal sementara di rumah kawannya kerana mendakwa dihalau oleh keluarga.

Namun selepas mendapat tahu berita tentang kehilangan remaja perempuan tersebut, ibu kepada rakan beliau terus menghubungi keluarganya untuk mengambil remaja berkenaan.

"Hasil soal siasat ke atas remaja tersebut, punca beliau keluar dari rumah kerana enggan pergi ke sekolah kerana mempunyai masalah dengan rakan sekelas," katanya.

Semalam, RTM menyiarkan berita kehilangan Siti Alia Umairah setelah keluar dari rumah keluarganya di Pulau Kerengga, Alor Setar pada Ahad lalu.

Remaja berkenaan adalah anak keempat daripada lima beradik dan merupakan pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Jitra.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI