KUANTAN, 23 Julai- Remaja perempuan, Nur Aina Faqihah Sharizan, 17, yang dilaporkan hilang sejak 15 Julai, ditemukan selamat di sebuah stesen bas di Triang, Bera, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Penguasa Polis (SP) Zaiham Mohd Kahar berkata, gadis itu ditemukan orang awam pada pukul 2.30 petang dan telah dibawa ke balai polis berdekatan.
"Remaja itu ditemui dalam keadaan stabil dan kita akan bawa ke hospital untuk pemeriksaan bagi keperluan siasatan. Kita juga akan rakam percakapan remaja itu sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja selepas dilaporkan hilang di Lurah Bilut, Bentong.