KULAI, 6 Mac- Seorang remaja lelaki kurang upaya (OKU) ditemui lemas selepas terjatuh ketika bermain air di parit di Taman Wawasan, Kulai, tengahari tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tan Seng Lee, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.40 malam, semalam.
Menurut laporan bapa mangsa, anak lelakinya yang berusia 17 tahun itu telah dibawa arus ketika bermain dalam parit, pada waktu hujan di Jalan Merpati.
Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pada pukul 2 pagi, hari berikutnya, terpaksa dihentikan susulan cuaca buruk.
Sekitar pukul 12.30 tengahari, mayat mangsa berjaya dijumpai setelah operasi pencarian diteruskan di kawasan Parit Taman Saujana, empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mayat telah disahkan oleh ahli keluarga dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).